Blog Feed

Nasihat Tentang Akhir Zaman Dari Cucu Tok Ku Paloh

Cucu Tok Ku Paloh

“Boleh, silakan ambil tanah. Kamu boleh korek tanah dibelakang rumah saya sebanyak mana pun yang kamu mahu.”

-Al Marhum Tok Ku Paloh rahimahullahu ta’ala

NASIHAT TENTANG AKHIR ZAMAN DARI CUCU TOK KU PALOH

Ada pendapat ulama’ feqah tentang umur umat akhir zaman ialah selama 1500 tahun selepas kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Cucu Tok Ku Paloh, Habib Ustaz Syed Omar حفظه الله تعالى berpesan:

Jangan tinggal beramal dengan membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 7 kali pada waktu pagi dan 7 kali pada waktu petang.

Dan kami meminta 3 nasihat daripadanya. Maka ketiga-tiga nasihat beliau ialah Al-Qur’an, Al-Qur’an dan Al-Qur’an. Tambah guru yang mulia lagi, kalau ditanya apakah yang ke-4, ke-5, ke-6 dan seterusnya, maka jawapannya tetap ialah Al-Qur’an.

Begitulah juga ketika diminta nasihat, bagaimana kami mahu mengatasi perasaan malas dalam menuntut ilmu. Jawapannya ialah Al-Qur’an.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم wafat pada tahun 11 Hijrah, dan sekarang sudah masuk ke tahun 1440 Hijrah.

Bermakna masih berbaki lebih kurang 71 tahun.

Kemudian, ditolak lagi dengan tempoh Islam kembali memerintah dunia dengan aman selama 40 tahun (Fasa Imam Mahdi dan Nabi Isa), bermakna jumlahnya berbaki lebih kurang 31 tahun.

Fasa 31 tahun, jika dikira dari tahun 2019 Masihi bermakna sehingga tahun 2050 inilah umat akan berhadapan dengan fitnah yang paling besar sepanjang zaman. Fitnah yang selalu diingat-ingatkan oleh setiap nabi yang terdahulu, iaitu fitnah Dajjal.

IMAM MAHDI

Imam Mahdi tidak akan mudah mengangkat diri bahawa dia itu Imam Mahdi. Orang yang mengatakan dia itu Imam Mahdi itu, sudah pastinya bukan Imam Mahdi.

Dia pun tidak menyangka bahawa dialah sebenarnya Imam Mahdi sehinggalah orang berbai’ah kepadanya di Makkah, walaupun tanda-tandanya telah disebut oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Namanya ialah Muhammad seperti nama baginda صلى الله عليه وسلم dan nama ayahnya ialah Abdullah seperti ayah baginda.

PERISTIWA BESAR AKHIR ZAMAN

Setakat ini dari telinga hamba sendiri, ada 3 orang tok guru yang pernah menyebut bahawa mereka sempat dengan tanda besar akhir zaman.

Makna kata mereka sempat dengan peristiwa perang sabil. Ini kasyaf waliyullah, cuma ia tidak pula berkait dengan usul iman, nak terima boleh dan tak nak terima pun boleh. Wallahua’lam. Mereka ialah:

  1. Al-Habib Ustaz Dato’ Syed Omar Al-Idrus حفظه الله تعالى
  2. Tuan Guru Syeikh Zainul Asri حفظه الله تعالى
  3. Tuan Guru Ustaz Yusof Tobir حفظه الله تعالى

CUCU TOK KU PALOH

Nama penuh ustaz ialah Al-Habib Ustaz Dato’ Syed Omar bin Abdul Kadir Al-Idrus حفظهما الله تعالى. Datuk beliau ialah Al-Marhum Al-Habib Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad bin Syed Zainal Abidin Al-Idrus رحمهم الله تعالى. Atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh.

Beliau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Syed Omar. Beliau dilahirkan pada tahun 1942, bermakna umurnya kini sudah pun mencecah 77 tahun. Tok Ku Paloh nasab ke-36, manakala beliau pula nasab ke-38 dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Sebelum ini, beliau merupakan mantan Pemangku Raja Terengganu (memegang jawatan istana Engku Kelana DiRaja Terengganu).

Antara Ulama’ yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Sultan Terengganu ialah:

  1. Tok Pulau Manis & Sultan Zainal Abidin I
  2. Tok Ku Paloh & Sultan Zainal Abidin III
  3. Ustaz Syed Omar & Sultan Mizan

KARAMAH TOK KU PALOH

Antara minat Tok Ku Paloh حفظه الله تعالى ialah ilmu sains. Orang yang benar-benar mendalami ilmu sains, orang ini akan cenderung kepada agama. Ustaz Syed Omar bercerita, datuknya juga orang sangat alim dalam ilmu falaq. Beliau mahir dengan gelombang laut.

Satu ketika, Tok Ku Paloh dipanggil ke atas kapal dan dibawa ke laut. Beliau dicabar oleh pihak British untuk meneka kedalaman laut di bawah kapal. Lalu, Tok Ku Paloh membuat kira-kira dan menjawab 120 kaki.

Selepas itu, barulah pihak British mengarahkan anak kapal untuk menjatuhkan sauh untuk pengiraan kedalaman laut. Subhanallah, kiraan Tok Ku Paloh tepat sama sekali!

Ketika ditanya tentang ini kepada Ustaz Syed Omar حفظه الله تعالى, adakah ini termasuk dalam keistimewaan khusus (karamah) atau kealiman Tok Ku Paloh dalam ilmu falaq? Jawapannya, memang kerana beliau merupakan orang yang sangat alim.

Cerita tentang karamah Tok Ku Paloh pula, beliau sangat digeruni oleh pihak British. Pernah satu ketika, British meminta tanah (Terengganu) dari Sultan. Kemudian, Sultan suruh minta dengan Tok Ku Paloh.

Apabila disampaikan hasrat ini kepada Tok Ku Paloh, beliau menjawab,

“Boleh, silakan ambil tanah. Kamu boleh korek tanah dibelakang rumah saya sebanyak mana pun yang kamu mahu.”

Pihak British rasa sangat malu kerana dijawab seperti itu. Terus mereka mahu bangun dari kerusi dengan perasaan yang sangat marah. Namun, kerusi yang mereka sedang duduk tadi telah melekat di punggung mereka!

Melihat keadaan itu, terus Tok Ku Paloh berkata,

“Tadi datang nak minta tanah, saya dah bagi tanah, ni dengan kerusi-kerusia saya pun nak ambil juga ke?”

Kisah ini sangat masyhur. Ini sahaja sudah cukup menjadi dalil kenapa pihak British sangat gerun pada Tok Ku Paloh. Mereka tidak boleh nak menjajah Terengganu, melainkan setelah kewafatan beliau.

(Kisah ini hamba telah perincikan dalam #CatatanMerdeka 2018).

PENUTUP

Akhirnya, doakan semoga Tuan Guru kita, Habib Ustaz Syed Omar cepat sembuh dan disihatkan oleh Allah سبحانه وتعالى. Sekaligus, dapat kembali mengajar di masjid dan surau seperti dahulu. Amin.

وصلى الله عل سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم.
والله اعلم.

-Rasyid Al-Kinti

Kuala Terengganu,
29 Jumadil Ula 1440/
4 Februari 2019.

https://t.me/RasyidAlKinti

PESAN ULAMA’ DI AKHIR ZAMAN

Nasihat Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri ḥāfiẓahuLlāh,

“Kalau nak keluar musafir, jangan lebih daripada 3 hari. Duduk rumah selamat atau duduk di pondok. Rumah yang ada suasana masjid sahaja boleh duduk. Kalau tidak ada, maka rumah itu akan terasa panas.”

Apa yang kita hadapi sekarang, seolah-olah merupakan persediaan kepada suasana Dajjal akan datang. Ada sebab mengapa Allah takdirkan dalam tempoh PKP sekarang, terdapat ramai anak perantauan yang pulang ke Malaysia.

Tuan Guru berpesan kepada kami agar mengusahakan sebaik mungkin empat (4) perkara berikut untuk diamalkan:

  1. Jaga Solat Sunat Qabliyah dan Baʼdiyah, kerana amalan ini akan memudahkan kita untuk bangkit tahajjud.
  2. Gabungkan niat Solat Sunat Qabliyah dan Baʼdiyah tadi dengan niat Solat Sunat Hajat.
  3. Amal Solat Sunat Dhuha dan gabungkan dengan niat Solat Sunat Hajat.
  4. Usahakan supaya istiqamah dengan membaca doa ini,

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا الإِسْتِقَامَة وَحَبِّبْ إِلَيْنَا فِي صَلَاةِ الْجَمَاعَة

SUASANA PKP DAN AKHIR ZAMAN

Antara tanda kiamat hampir tiba, seperti yang telah disebutkan oleh Junjungan Mulia Rasulullah صلى الله عليه وسلم ialah ilmu (agama) akan beransur-ansur hilang. Baginda bersabda yang bermaksud,

“Bahawasanya Allah ta’ala tidak mencabut akan ilmu itu sekaligus dari (dada) umat Islam. Tetapi Allah ta’ala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para Ulama’. Apabila sudah tiada alim Ulama’, maka orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka, apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

Sepanjang tempoh PKP juga, kita telah menyaksikan ramai daripada kalangan Ulama’ besar yang telah meninggal dunia. Tidak kurang daripada 50 orang Ulama’ besar yang telah wafat sepanjang bulan Ramadhan yang lalu.

Menggambarkan hal keadaan ini, berkata oleh Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri ḥāfiẓahuLlāh bahawa,

“Malam-malam sudah semakin gelap daripada cahaya…”

MALAYSIA TEMPAT YANG AMAN

Suatu ketika dahulu, Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri ḥāfiẓahuLlāh pernah menyebut bahawa setiap penjuru Ka’abah menghala ke negara-negara tertentu.

Contohnya, Rukun Yamani menghala ke negara Yaman dan Rukun Iraqi menghala ke negara Iraq. Manakala, bagi penjuru yang terletaknya Hajarul Aswad tidak mempunyai nama yang khusus. Kata Tuan Guru, ia menghala ke Malaysia.

Lalu, beliau telah mengkhabarkan perkara ini kepada Fadhilatus Shaykh Dr. Khalil Ilyas ḥāfiẓahuLlāh. Kemudian, Shaykh Khalil ḥāfiẓahuLlāh membuat kira-kira tentang perkara tersebut. Hasilnya, penjuru Hajarul Aswad memang menghala ke Malaysia, Singapura dan Sri Lanka.

Perkara tersebut seolah-olah memberi suatu isyarat bahawa Malaysia merupakan sebuah tempat yang istimewa. Tuan Guru melanjutkan tausiyah beliau dengan menyebut tentang keunikan di Malaysia.

Islam mudah untuk berkembang dekat kawasan yang tiada konflik. Zaman dahulu, Kerajaan Rom hanya mampu menguasai sehingga ke Syam sahaja. Namun, mereka tidak berjaya sampai ke Makkah dan Madinah.

Kemudian Tuan Guru berkata,

“Allah ta’ala telah sediakan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik. Pasaipa Dr. Zakir Naik duduk di Malaysia? Sebab di sini aman. Tiada konflik (seperti yang berlaku di negara-negara yang lain).”

Penjajah datang ke tempat kita sehingga bertukarnya nama “Tanah Melayu” kepada “Malaysia”. Berkata Tuan Guru, ini merupakan suatu ‘penjenamaan semula’ agar kita semua tidak mengetahui bagaimana generasi kita yang terdahulu.

Supaya kita semua tidak mengenali jati diri kita sendiri.

RAHSIA TANAH MELAYU

Antara yang disebutkan oleh Tuan Guru juga ialah Tanah Melayu sebenarnya menyimpan rahsia yang cukup banyak. Bangsa Melayu, telah dimasuki oleh Islam melalui jalan yang damai. Bukannya dengan jalan perang.

Islam memasuki ke Tanah Melayu dengan jalan pendakwah. Kedatangan Islam ke tempat kita seumpama air yang mengalir baik arusnya. Apabila seorang Raja itu memeluk Islam, maka seluruh rakyatnya juga memeluk Islam secara beramai-ramai.

Pendakwah datang ke sini sebagai pedagang. Namun, mereka bukan berniaga semata-mata. Mereka telah mencontohi Sunnah Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang telah memasuki ke dalam bidang perniagaan.

Bangsa yang berdagang merupakan bangsa yang hebat. Antaranya ialah bangsa Quraisyh sendiri. Mereka tidak akan diganggu oleh perompak kalau keluar berdagang. Kisah mereka ada disebutkan di dalam Al-Quran pada Surah Quraisyh ayat 1 sehingga 4.

لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ (1) إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ (2) فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ (3) ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ (4)

Maksudnya: “Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah) [1]. (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam) [2]. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini [3]. Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan [4].”

Kemudian, Tuan Guru juga telah menanyakan nama setiap seorang daripada kami yang hadir. Menariknya, sebahagian besar nama kami bermula dengan “Muhammad”. Cuma seorang dua sahaja yang bermula dengan yang lain.

Tuan Guru memberitahu bahawa, Malaysia juga terdapat jumlah yang paling ramai yang bernama “Muhammad” di dunia pada hari ini. Ia merupakan suatu kebanggaan yang cukup besar buat kita semua.

Selain daripada Indonesia yang memiliki Wali Songo, di Tanah Melayu juga terdapat “Wali 7”. Bahkan, dikatakan juga bahawa Bukit Panau di Kelantan telah menjadi tempat yang pertama buat Wali Songo bersuluk.

Oleh sebab itu, jangan kita buat lebih kurang.

Nota Hujung: Ini merupakan sebahagian daripada catatan nota semasa ziarah ke negeri Kedah pada 18 Jun sehingga 20 Jun 2020. Berikut merupakan senarai Wali 7 dan negeri yang menempatkan makam mereka.

  1. Tok Ku Paloh (Terengganu)
  2. Tok Kenali (Kelantan)
  3. Habib Nuh al-Habshi (Singapura)
  4. Tuan Tulis (Negeri Sembilan)
  5. Tuan Hussien al-Banjari (Kedah)
  6. Shaykh Muhamad Nor al-Kholidi (Selangor)
  7. Shaykh Muhammad Said al-Linggi (Negeri Sembilan)

Ke atas mereka semua dicurahkan rahmat Allah ta’ala.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Sembilan Sembilan,
4 Zulkaedah 1441/
24 Jun 2020

https://t.me/RasyidAlkinti

PUISI ALAM MELAYU & ISLAM

Pada permulaan majlis semalam, al-Fadhil Ustaz Dr. Mohd Hilmi Ramli ḥāfiẓahuLlāh ada menyebut berkenaan puisi Melayu telah bermula dengan kedatangan Islam. Maka, tidak syak lagi terdapat hubungan yang sangat rapat di antara puisi Alam Melayu dan Islam.

Perkaitan antara kedua-duanya itu, telah dinyatakan oleh al-Allamah Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas ḥāfiẓahuLlāh di dalam karya yang berjudul, “The Origin of The Malay Sha’ir”. Beliau telah menobatkan al-Marhum Shaykh Hamzah Fansuri rh sebagai bapa ulung dalam kesusasteraan Alam Melayu.

Menurut al-Fadhil Ustaz Dr. Hilmi Ramli ḥāfiẓahuLlāh, terdapat dua jenis penulisan dalam tradisi ilmiah dan kesarjanaan iaitu: (1.) prosa yang ditulis dalam bentuk yang jelas dan (2.) puisi yang ditulis dalam bentuk metafora.

Karya-karya tasawuf perlu diungkapkan dengan bahasa yang halus. Ia memerlukan sebuah wahana yang sesuai seperti puisi untuk menyampaikan bahasa. Oleh itu, puisi tidak terasing daripada aspek keilmuan.

JALAN PULANG

Buku ketiga yang menghimpunkan puisi ini, telah dinamakan oleh al-Fadhil Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud ḥāfiẓahuLlāh sebagai “Jalan Pulang”. Ia merupakan karya yang ketiga selepas daripada “Mutiara Taman Adabi” (2003) dan “Dalam Terang” (2004).

Nasihat beliau, sekiranya menangis apabila membaca bab-bab yang memilukan, maka teruskan membaca sampai ke akhir. Jangan berhenti di pertengahan jalan, kerana di hujung nanti akan diselangi dengan pengharapan.

Metod penulisan dinyatakan sendiri oleh al-Fadhil Prof. Wan bahawa, syair-syair itu dimulakan dengan penyataan masalah (“problem”) terlebih dahulu. Kemudian, diakhiri dengan kenyataan optimis. Ini kerana, guru yang mulia ingin mengingatkan kepada kita bahawa jangan sesekali berputus asa—yang termasuk dalam sifat syaitan.

“Pulang” yang dimaksudkan oleh al-Fadhil Prof Wan di dalam tajuk utama karangan puisi ini ialah: (1.) “Pulang” kepada Allāh Ta’āla, yakni kematian dan (2.) “Pulang” kepada kebenaran, seperti yang terakam di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-18,

صُمُّۢ بُكۡمٌ عُمۡيٞ فَهُمۡ لَا يَرۡجِعُونَ

Maksudnya: “Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).”

Manakala, bagi kaedah yang digunakan beliau untuk mempersembahkan puisi ialah kaedah “Double Movement”. Perkara yang sama juga pernah digunakan oleh gurunya, iaitu al-Marhum Prof. Fazlur Rahman rh (wafat 1988).

Kaedah tersebut ialah: (1.) gagasan di dalam aqal disampaikan melalui cerita dan keadaan semasa yang spesifik, serta (2.) keadaan semasa yang spesifik dikaitkan kepada konsep atau gagasan di dalam aqal.

Seronok dapat mendengar setiap bacaan puisi dan syarahannya daripada tokoh-tokoh sarjana yang agung. Hadirin pula terdiri dari pelbagai negara seperti Indonesia, Singapura dan banyak lagi.

Semoga dapat diadakan lagi majis seumpama malam tadi dan syarahan lanjutan daripada para guru yang mulia pada masa akan datang insya-Allāh.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Sembilan Puluh,
24 Syawal 1441/
15 Jun 2020

https://t.me/RasyidAlkinti

NASIHAT PENTING BUAT PENUNTUT ILMU

Alhamdulillah, pada hari ini direzekikan oleh Allah سبحانه وتعالى untuk menziarahi Tuan Guru Shaykh Abdullah Ridwan al-Lubis ḥāfiẓahuLlāh di Masjid Sungai Rokam bersama dengan Sidna Zaiyad Zakaria al-Kampari.

Setelah itu, berpeluang juga untuk menziarahi Guru Mulia Ustaz Musytaq Al-Ash’ari ḥāfiẓahuLlāh di Manjoi, Ipoh. Antara dua nasihat yang sangat penting telah disebutkan oleh beliau pada petang tadi ialah:

[ Pertama: Ziarah Ulama’ Selagi Mereka Hidup ]

Usahakan untuk menziarahi seramai mungkin para Ulama’ selagi mereka masih lagi hidup. Masa yang ada bagi para sesepuh untuk hidup bersama dengan umat, sudah tidak lama yang masih berbaki.

Ramai dari kalangan mereka sudah meninggal dunia. Hari-hari, kita akan mendapat khabar dan makluman mengenai orang alim yang pergi meninggalkan kita. Sangat rugi, jika tidak pernah mengambil manfaat ilmu daripada mereka ketika masih bernyawa.

Antaranya ialah Tuan Guru Ayah Isa Gerik حفظه الله تعالى. Beliau merupakan antara murid kanan kepada Al-Marhum Pak Da ‘Eil رحمه الله تعالى yang masih lagi hidup. Beliau sekarang menetap di Gerik, Perak.

Selanjutnya, yang juga menetap di Perak ialah Maulana Haji Isa Mad Pie حفظه الله تعالى. Beliau merupakan sahabat sepengajian dengan Maulana Lambak حفظه الله تعالى di Darul Ulum Deoband. Sekarang tinggal di Parit.

Itu belum lagi termasuk dengan para Ulama’ yang Mastur. Ramai daripada kalangan mereka tidak dikenali oleh orang awam.

[ Kedua: Menyibukkan Diri Dengan Ilmu ]

Penuntut ilmu tidak boleh menyibukkan diri mereka dengan urusan-urusan selain daripada perkara yang berkaitan ilmu. Orang yang menuntut ilmu, telah dijanjikan rezeki oleh Allah kepada mereka. Maka, mereka tidak perlu menyibukkan diri dengan perkara-perkara lain yang tidak berkaitan.

Penuntut ilmu yang berada pada makam tajrid, tidak serupa dengan masyarakat awam yang berada pada makam asbab. Sangat rugi, apabila mereka mensia-siakan peluang menuntut ilmu dengan sibuk berkerja ataupun berkahwin bukan pada waktunya.

Menjadi masalah yang besar setelah berkahwin, mereka meninggalkan terus daripada mulazamah pengajian ilmu. (Jika sebaliknya, maka tiada masalah. Ini seperti yang telah dilakukan oleh Fadhilatus Shaykh Professor Dr. Ali Jumuah حفظه الله تعالى dan isterinya).

Sebahagian nasihat penting yang disebutkan daripada kitab Syarah bagi Hikam Shaykh Ibnu ‘Athoillah As-Sakandari رحمه الله تعالى adalah,

Antara tanda seseorang itu dicabut kemuliaan daripada Allah سبحانه وتعالى adalah, apabila mereka sudah berada pada makam tajrid, lalu mereka menyibukkan diri untuk duduk pada makam asbab.
.
.
.
Alhamdulillah, pada malam Jumaat baru-baru ini, Guru yang mulia telah mengkhatamkan syarahan ke atas kitab “Ta’lim Muta’allim” karangan al-Imam Az-Zarnuji رحمه الله تعالى kepada kami. JazakumuLlāhu khairan atas semuanya.

Terima kasih juga atas hadiah sebuah kitab yang dikarang oleh al-Fadhil Ustaz Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar حفظه الله تعالى. Buku tersebut bertajuk, “Zikir Allah, Allah, Allah: Jalan Menuju Hakikat Dan Ma’rifatuLlah”.

Semoga Allah سبحانه وتعالى melimpahkan rahmat kepada Guru Mulia Ustaz Musytaq Al-Ash’ari حفظه الله تعالى atas segala ilmu yang disampaikan.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Lapan,
22 Syawal 1441/
13 Jun 2020

https://t.me/RasyidAlkinti

RINGKASAN JILID KEDUA

Alḥamdulillāh, pada pagi Jumaat yang penuh dengan keberkatan ini Tuan Guru Ayah Chik ḥāfiẓahuLlāh telah mengkhatamkan syarahan bagi kitab “Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah (Jilid Kedua)”.

Kitab tersebut membicarakan Sirah Junjungan Mulia Rasulullah ﷺ; bermula dari peristiwa Hijrah ke Madinah sehinggalah kepada kisah Sayyiduna Rasulullah ﷺ diracun selepas Perang Khaibar.

Sekurang-kurangnya terdapat beberapa peristiwa yang besar di dalam buku Jilid Kedua ini, antaranya ialah:

  1. Perang Badar (tahun 2 Hijrah)
  2. Perang Uhud (tahun 3 Hijrah)
  3. Peristiwa Birru Ma’unah (tahun 4 Hijrah)
  4. Perang Ahzab (tahun 5 Hijrah)
  5. Perjanjian Hudaibiyah (tahun 6 Hijrah)
  6. Perang Khaibar (tahun 7 Hijrah)

Minggu hadapan bermulalah pengajian kitab yang baharu, Fiqh Al-Harakah bagi jilid yang ke-3. Sekaligus merupakan siri buku yang terakhir pada karangan Ayah Chik terhadap Sirah Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

Semoga Allah سبحانه وتعالى melimpahkan rahmat ke atas Ayah Chik dan memanjangkan umur beliau buat manfaat seluruh umat Sayyiduna Rasulullah ﷺ♥️.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Tujuh,
20 Syawal 1441/
12 Jun 2020

https://t.me/RasyidAlkinti

PERIHAL SEBAB CINTA (2)

Berkata oleh Tuan Guru Shaykh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani ḥāfiẓahuLlāh, “Jika antum cinta kepada seorang perempuan; atau perempuan kepada seorang lelaki, antum akan mencintai apa yang berkaitan dengan orang itu.”

Hakikat kekasihnya ialah perempuan atau lelaki yang dicintai itu tadi. Namun, segala yang berkaitan dengan si dia juga akan turut sama dikasihi.

Serupa para Sahabat رضي الله تعالى عنهم أجمعين yang berusaha sedaya upaya untuk mencintai setiap perkara yang dicintai oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Antaranya seperti yang tersebut dalam kitab “Syamāil Muḥammadiyah” karangan al-Imam at-Tirmizi رحمه الله تعالى.

Apabila membaca hadis yang ke-151 sehingga 153, pasti kita akan bertemu dengan beberapa kisah makanan kesukaan Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Antaranya ialah buah labu ( دُبَّاءٌ ).

Perhatikan bagaimana ahwal para Sahabat dalam mencintai kekasihnya. Ketika Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله تعالى عنه mengetahui perkara tersebut, beliau langsung menyukai buah labu seperti halnya keadaan Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله تعالى عنه menceritakan,

“Nabi ﷺ menyukai buah labu. Suatu hari, dihidangkan kepada Baginda ﷺ suatu hidangan makanan atau Baginda ﷺ diajak untuk menikmati satu hidangan makanan. Aku mengutip-ngutip labu yang ada dalam hidangan itu, lalu aku letakkan di hadapan Baginda ﷺ kerana aku mengetahui Baginda ﷺ menyukainya.”

Dalam hadis yang lain, Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله تعالى عنه juga telah menceritakan bahawa,

“Seorang tukang jahit menjemput Rasulullah ﷺ untuk menikmati makanan yang dimasaknya. Sayyiduna Anas menceritakan, lalu aku pergi bersama Rasulullah ﷺ. Dihidangkan kepada Baginda ﷺ; roti, kuah sup bersama labu di sekitar (makanan di dalam) talam.”

Sayyiduna Anas رضي الله تعالى عنه berkata, “Sejak hari itu, berterusanlah aku menyukai labu.”

Sahabat menyukai segala perkara yang disukai oleh kekasihnya. Segala yang berkaitan dengan Sayyiduna Rasulullah ﷺ, pasti akan menjadi kecintaan mereka juga.

Demikianlah kata Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll ḥāfiẓahuLlāh berkenaan hal keadaan orang yang bercinta. Terdapat sebuah kisah di mana, pada suatu hari orang ramai telah melihat Qais mencium tembok.

Sedangkan bagi Qais, dia sebenarnya sedang mencium tuan kepada tembok tersebut, iaitu Laila. Hatinya sudah dimiliki oleh Laila menyebabkan segala yang berkaitan Laila turut dicintai oleh Qais.

Semoga kita juga dikurniakan perasaan cinta kepada setiap perkara yang dicintai oleh Junjungan Mulia Rasulullah ﷺ.

Amin.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Tujuh,
20 Syawal 1441/
12 Jun 2020

https://t.me/RasyidAlkinti

PERIHAL SEBAB CINTA

Dalam buku “Perihal Rasulullah ﷺ”, Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll hāfizhahuLlāh ada menukilkan perkataan Fadhilatus Shaykh Dr. Usamah Sayyid Mahmud al-Azhari hāfizhahuLlāh,

“Seseorang jatuh cinta kepada seseorang yang lain kerana tiga sebab. Cantik ( جمال ), sempurna ( كمال ) dan baik budi pekertinya ( إحسان ). Salah satu sebab atau mungkin terkumpul dua sebab, pasti menjadi sebab cinta…”

Sambung Shaykh Usamah hz lagi, “Istimewanya kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad ﷺ, tiga sebab atau perkara ini; (cantik, sempurna dan baik budi pekerti) terkumpul pada diri Baginda ﷺ untuk dicintai.”

Kata Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll hz, “Kecintaan manusia kepada seseorang telah menyebabkan telinganya dipekakkan dan matanya dibutakan. Seperti kisah para wanita Qibtiy yang terhiris jari ketika memandang Nabi Yusuf عليه السلام.”

Namun, telah disebutkan oleh Sayyidatuna Aisyah رضي الله تعالى عنها bahawa, sekiranya para wanita Qibtiy itu masih lagi hidup. Nescaya, hati mereka akan terhiris apabila memandang wajah Sayyiduna Rasulullah ﷺ yang mulia!

Perumpamaan kecantikan dan kesempurnaan Sayyiduna Rasulullah ﷺ dengan sekalian Anbiya’ disebutkan oleh Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll hz ketika mensyarahkan kitab “Qalbun Salim” bahawa, Baginda ﷺ itu seperti matahari dan para Anbiya’ pula seperti bintang di langit.

Kata Guru yang mulia, “Bintang akan kelihatan terang bergemerlapan pada waktu malam. Apabila datang cahaya matahari, habis sirnalah cahaya bintang.”

Itu bukan bermakna bintang tidak ada. Tetapi, oleh kerana terlalu cerahnya cahaya matahari pada waktu siang, maka, hilanglah semua cahaya yang selainnya…

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Enam,
20 Syawal 1441/
11 Jun 2020

https://t.me/RasyidAlkinti

11 NASIHAT YANG BERMAKNA

Sudah hampir 8 tahun, kami mendapatkan tunjuk ajar daripada Sang Naqib, Guru Mulia Abang Abu Hasan Ashaari Attafawi hāfizhahuLlāh.

Jika menjadi seorang murid, selamanya tetap murid. Maka, menjadi seorang anak usrah, selamanya tetap anak usrah. Tidak ada yang namanya “bekas guru”, begitulah juga tidak ada yang namanya “bekas naqib”.

Nasihat-nasihat daripada beliau pada malam tadi, dapat kami simpulkan kepada 11 perkara:

  1. Al-Qur’ān mendatangkan banyak misal tentang makhluk, agar kita dapat mengambil pengajaran.
  2. Perbanyakkan lisan dengan berselawat, fadhilat orang yang berselawat cukup besar. Mereka diampunkan dosa.
  3. Di dalam keluarga@usrah, tidak sepatutnya ada perasaan bersangka buruk dan khianat-mengkhianati.
  4. Sesama ahli keluarga, hendaklah bersangka baik, saling memberi manfaat dan kebaikan.
  5. Bersahabat hendaklah dengan niat yang ikhlas, agar ikatan persahabatan tersebut terasa manis.
  6. Kita berkawan bukan kerana darjat, kedudukan atau harta. Ada yang bekerja kampung juga tetap kita berkawan.
  7. Jangan sesekali kita berkawan dengan seseorang atas sebab kepentingan tertentu. Apabila dia sudah tidak menjadi pimpinan jemaah, sudah tidak mahu bersahabat. Kena semak kembali niat.
  8. Guru Mulia Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah hāfizhahuLlāh berkata bahawa; “Perbanyakkan sahabat daripada kalangan orang mukmin, kerana mereka mempunyai syafaat di akhirat nanti.”
  9. Kita juga menumpang syafaat Guru di akhirat kelak, syafaat daripada Guru yang Mursyid, yang membimbing perjalanan seorang salik.
  10. Banyakkan mengenali Wali-Wali Allāh di dunia, supaya kita mendapat syafaat Wali-Wali Allāh di akhirat.
  11. Itu baru syafaat Wali-Wali Allāh, bagaimana pula dengan syafaat daripada Junjungan Mulia RasuluLlāh SollāLlāhu Alaihi Wasallam? Maka, perbanyakkan selawat.

Semoga kemanisan ukhuwah ini akan terus berkekalan. Didoakan semoga Sidi Afiq Anam yang masih ditahan di hospital, agar cepat sembuh daripada wabak Covid-19.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Tiga,
16 Syawal 1441/
8 Jun 2020

https://t.me/RasyidAlkinti

MURID PAK DA ‘EIL YANG MASIH HIDUP (2)

Sudah 63 tahun dua orang ulama yang bersahabat ini telah terpisah, sehinggalah disatukan kembali oleh Allah pada hari ini. Kali terakhir mereka berjumpa adalah ketika di Makkah pada tahun 1955. Kedua-dua mereka telah mencapai usia 87 tahun sekarang.

Tuan Guru Baba Ismail (yang berada di tengah) seorang yang sangat alim dalam Nahu dan Sorof. Manakala, Tuan Guru Hj. Mat Husin pula seorang sangat alim dalam ilmu Tarikh Islam (pengajian sejarah). Pada tahun 1955, Tuan Guru Baba Ismail dan Tuan Guru Hj. Mat bin Husin meneruskan pengajian mereka berdua ke Makkah.

Namun tidak lama kemudian, Tuan Guru Hj. Mat bin Husin pula menyambung pengajiannya ke Mesir. Tuan Guru Haji Mat Husin merupakan anak kepada Al Marhum Tuan Guru Haji Husin Pondok Langgar. Al Marhum Tuan Guru Hj Hussin Pondok Langgar juga bersahabat baik dengan Al Marhum Tuan Guru Ustaz Fadzil Noor.

Mereka (Tuan Guru Hj Hussin dan TGFN) juga pernah bersama-sama bermusafir ke Turki pada suatu ketika dahulu. Waktu itu, Parti Refah baru nak ditubuhkan oleh Al Marhum Profesor Erbakan. Tuan Guru Hj Hussin Langgar merupakan pengasas kepada Pondok Raudhatul Ulum. Kini merupakan Maktab Mahmud Pokok Sena.

Ketika tahun 1955, terdapat 4 orang anak Kedah yang mengaji sekawan di Darul Ulum Makkah, iaitu (1) Tuan Guru Baba Ismail, (2) Tuan Guru Hj. Mat Husin, (3) Tuan Guru Hj. Said Pendang dan (4) Tuan Guru Ayub Tualang.

Anak Kelantan pula terdapat 7 orang, termasuklah Al Marhum Tuan Guru Ustaz Yahya Othman (penulis kitab Amal Jama’i). Anak Indonesia lagi ramai kata Tuan Guru Baba Ismail. Atas satu tahun pengajian daripada Baba Ismail ketika di Darul Ulum, antaranya ialah Al Marhum Tuan Guru Hj. Salleh Sik. Seorang yang sangat alim dalam ilmu tauhid.

CERITA AWALNYA

Pada mulanya, Guru Mulia Ustaz Fauzi membuat carian di internet tentang Pondok Langgar Hj. Hussin. Ustaz dapat tahu bahawa, ada seorang anak beliau (Hj. Mat Hussin) yang pencen dari Maktab Mahmud (1986).

Apabila ditanya kepada pihak Maktab Mahmud Pokok Sena, mereka telah memberi nombor telefon cucu beliau, Ustaz Maher. Kemudian Guru Mulia Ustaz Fauzi dapat menghubunginya dan meminta alamat rumah ayahnya. Maka terjadilah pertemuan mahabbah ini.

Alangkah hebatnya ukhuwah mereka berdua. Terus diimbau saat-saat manis kenangan menuntut ilmu 63 tahun yang dahulu ketika di kota Tanah Suci Makkah.

Pesan Tuan Guru Hj Mad Hussin satu sahaja, “Koi lama, koi habis… (semakin lama, semakin berkuranganlah para ulama…)” Semoga Allah memanjangkan umur kedua-dua ulama yang mulia ini.

PERSOALAN TENTANG TAKDIR

Ketika dalam perjalanan pulang, kami sempat bertanya kepada Baba Ismail tentang satu persoalan tentang takdir. Jawapan daripada Baba Ismail cukup ringkas dan padat,

“Semua telah ditetapkan oleh Allah di Luh Mahfuz. Cuma nak ubah atau tidak itu bukan kerja kita. Allah akan menghapuskan apa yang Dia kehendak dan Allah tetapkan apa yang Dia kehendak. Itu kita tak boleh nak kata apa. Itu kerja Allah.”

Lalu Baba Ismail membacakan ayat ke-118 dari Surah al-Maidah yang maksudnya cukup indah untuk dihayati,

“Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Alor Setar,
5 Syaaban 1439/
21 April 2018

https://t.me/RasyidAlkinti

MURID PAK DA ‘EIL YANG MASIH HIDUP

Tuan Guru Baba Ismail sepanjang menuntut ilmu di Makkah dahulu merupakan anak murid kepada; Pak Da ‘Eil (pengarang kitab Bakurah Amani), Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (pengasas kepada Madrasah Darul Ulum), Syeikh Abdul Qadir Mandili (pengarang kitab Penawar Bagi Hati) dan ramai lagi ulama’ yang agung.

Beliau menetap di dalam sebuah perkampungan Felcra di daerah Padang Besar, Perlis. Tidak jauh daripada itu, terdapat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Uniciti Alam Sg. Chuchuh dan sempadan masuk ke negara Thailand. Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Guru Mulia Ustaz Fauzi kerana sudi mengenalkan kami kepada Tuan Guru Baba Ismail.

Terlalu banyak kalam mutiara yang disampaikan oleh beliau kepada kami petang tadi. Insya-Allah sekiranya tiada aral yang melintang, kami akan sertakan sebuah penulisan yang khusus berkenaan pertemuan ziarah ini. Tuan Guru Baba Ismail hafizhahullah telah memberi 3 nasihat buat seluruh penuntut ilmu, yang kami rangkumkan nasihatnya seperti berikut;

(1.) Penuntut ilmu kena ada niat nak cari ilmu sebanyak-banyaknya. Baba Ismail sendiri bernikah pada umur 28 tahun selepas pulang dari Makkah, manakala gurunya Al Marhum Shaykh Yasin Al-Fadani bernikah pada umur 40 tahun. (2) Kedua, dalam pelajaran, kita kena ikhlas dalam menuntut ilmu. (3) Ketiga, sedekah tidak boleh ada hari yang kosong, kena buat selalu setiap hari sehingga menjadi amalan.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Padang Besar,
28 Rejab 1439/
15 April 2018

https://t.me/RasyidAlkinti

TANDA KITA CINTA KEPADA NABI

Antara empat (4) tanda kita cinta kepada Rasulullāh صلى الله عليه وسلم seperti yang disebutkan oleh Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri حفظه الله تعالى ialah:

  1. Kita teringin nak jumpa dengan Nabi صلى الله عليه وسلم. Setiap malam, dia akan tertunggu-tunggu bilakah masanya dia akan dapat bertemu dengan Nabi صلى الله عليه وسلم.
  2. Mentaati segala perintah Rasulullāh صلى الله عليه وسلم. Satu hari Nabi صلى الله عليه وسلم pernah bersabda bahawa, “Setiap umatku akan masuk ke dalam Syurga, kecuali mereka yang enggan..”

Lalu sahabat bertanya kepada Rasulullāh صلى الله عليه وسلم, siapakah mereka yang enggan itu?

Kemudian dijawab oleh Baginda صلى الله عليه وسلم, “mereka ialah orang yang menderhaka kepadaku..”

  1. Mengamalkan Sunnah Rasulullāh صلى الله عليه وسلم. Lalu kita muhasabah, pada diri kita ini ada berapa banyakkah sunnah Rasulullāh صلى الله عليه وسلم yang melekat? Satukah, sepuluhkah, seratuskah ataupun lebih?

Tuan Guru Shaykh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari حفظه الله تعالى pernah berpesan;

Antara Sunnah Rasulullāh صلى الله عليه وسلم itu yang tidak akan ditinggalkan oleh para pencinta Nabi ialah, mereka hanya akan memakai baju berwarna putih sahaja pada hari Juma’at.

  1. Mengagungkan Rasulullāh صلى الله عليه وسلم. Tidak ada yang dapat melebihi para sahabat dalam mengagungkan Baginda صلى الله عليه وسلم. Kita hari ini dapat melihat Athar (janggut, rambut, cebisan baju dan sebagainya). Para pencinta Nabi صلى الله عليه وسلم pasti akan memandangnya dengan penuh kemuliaan.

Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri حفظه الله تعالى melontarkan sebuah persoalan, “Kenapa kita bergelut sangat nak mencium Hajarul Aswad?”

Kemudian dijawab oleh beliau, “…kerana Rasulullāh صلى الله عليه وسلم juga pernah meletakkan bibirnya yang mulia pada Hajarul Aswad itu dahulu…”

Semoga Allāh سبحانه وتعالى mengurniakan kepada kita nikmat melihat keindahan wajahnya Rasulullāh صلى الله عليه وسلم. Sekaligus terpegun sehingga terlupa akan kesakitan sakaratul maut…

Wallāhua’lam.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyīd Al-Kintī

Alor Setar,
18 Rabi’ul Akhir 1440/
25 Disember 2018

https://t.me/RasyidAlkinti